Harapan baru pesakit kanser paru-paru

Koh yang berusia 79 tahun, disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat pada tahun 2017. Namun begitu, Koh menerimanya dengan tenang sambil berusaha mendapatkan rawatan pakar. Dia ingin membuktikan anggapan kanser adalah penamat kehidupan adalah tidak tepat. Dia pernah disahkan menghidap kanser payudara tahap satu pada tahun 2000 namun oleh kerana rawatan awal dilakukan membuatkan sel kanser tidak cepat merebak dan pulih sepenuhnya.

Koh menjalani kemoterapi namun ia mendatangkan kesan sampingan seperti kulit menjadi kering dan gatal, tetapi bila mulai menjalankan prosedur rawatan imunoterapi, Koh tiada kesan sampingan berbanding kemoterapi. Ia tidak menyebabkan rambut gugur atau kulit kering. Koh pun rasa bahawa kaedah imunoterapi sangat berkesan dan memberikan keselesaan. Pada masa yang sama ia memberikan sinar baru untuk kualiti kehidupan yang lebih baik kepada pesakit kanser khususnya wanita.

Menurut Perunding Onkologi Klinikal Datuk Dr. Mohamed Ibrahim A Wahid, kanser paru-paru adalah di antara kanser utama penyebab kematian di seluruh dunia. Antara sebab utama peningkatan dalam jumlah kematian penyakit kanser paru-paru adalah disebabkan oleh kelewatan dalam membuat pengesanan awal. Kemunculan imunoterapi memberikan pilihan rawatan sesuai disebabkan kurang kesan sampingan dengan profil toleransi yang tinggi. Ia amat disyorkan bagi pesakit dengan kanser lanjutan atau pesakit dengan kemoterapi berasaskan platinum yang tidak lagi memberikan kesan rawatan positif.

Source: https://www.hmetro.com.my/hati/2018/08/372808/harapan-baru-pesakit-kanser-paru-paru