Ringkasan Artikel:
Berita Harian – Mac 22, 2022
Ujian genetik boleh dilakukan sama ada menerusi ujian darah atau air liur untuk mengesan seseorang individu itu akan menjadi pembawa kepada risiko mendapat kanser keturunan. Sebelum menjalani ujian itu, individu itu perlu berjumpa dengan kaunselor genetik terlebih dahulu untuk mendapatkan pandangan dan khidmat nasihat.
Kanselor Genetik Hospital Beacon, Yoon Sook Yee, berkata perubahan genetik seseorang individu itu sama ada secara keturunan, boleh diuji dengan membuat ujian genetik. Katanya, ujian itu boleh mengenal pasti gen mana yang mengalami kerosakan yang mungkin meningkatkan risiko dalam seorang pembawa itu.
“Namun, individu itu perlu berjumpa dengan kaunselor genetik terlebih dahulu untuk mendapatkan kaunseling. Kaunseling ini bertujuan mendapatkan penerangan dan maklumat yang tepat selain sokongan psikososial kepada sesiapa yang ingin menjalani ujian ini,” katanya.
Buat ujian genetik, cari rawatan sesuai, keluarga rapat berisiko tinggi
Sook Yee berkata, tujuan utama menjalani ujian genetik adalah untuk mengenal pasti sekiranya individu itu ada membawa perubahan genetik yang mungkin meningkatkan risiko beberapa jenis kanser.
Sekiranya disahkan, seseorang itu perlu menjalankan pemantauan untuk menurunkan risiko. Keseluruhan maklumat berkenaan ujian akan diberikan oleh kaunselor genetik.
Individu yang layak menjalani ujian genetik adalah mereka yang mengalami kanser pada umur yang muda atau mempunyai ahli keluarga yang menghidapi kanser dari kluster sama.
Sook Yee berkata, 50 peratus setiap anak ada membawa perubahan genetik sama sekiranya ibu atau ayah sudah dipastikan menjadi pembawa. Adik beradik ibu daripada ibu bapa yang sama juga mungkin menjadi pembawa dan mempunyai risiko tinggi mendapat kanser.
Memahami risiko kanser dan dapatkan akses kaunseling genetik
Mengulas lanjut, Sook Yee berkata, hasil ujian genetik boleh memperoleh satu profil genetik dan dari situ boleh memahami risiko untuk mendapat kanser. Katanya, jika individu berkenaan sudah tahu akan risiko yang dihadapi, dia boleh mula merancang berjumpa pakar untuk mendapatkan rancangan intervensi awal atau pemantauan risiko.
“Sebagai Presiden Persatuan Genetik Kaunseling Malaysia, saya berharap dapat meningkatkan akses kaunseling genetik supaya lebih meluas. Ketika ini cabaran dihadapi adalah jumlah kaunselor yang terlalu sedikit sekali gus mengurangkan peluang untuk membantu orang ramai memahami risiko kanser dan tujuan ujian genetik,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk pautan berikut:
Article features :
Ms Yoon Sook Yee
Konselor Genetik